Wednesday, September 28, 2005

Gateway to the baitul muslim

The Gateway to the Bait-ul-Musleem

Rujukan: Mutiara Perkahwinan Menurut Ajaran Islam (Tuhfatul-'Aris Wal-'Arus)
Penulis: Muhammad Ali Qutb
Perumus: Mahyuddin Jamal
SINOPSIS

"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan Allah ialah, Allah menciptakan isteri-isteri bagi kamu dari jenis kamu sendiri, agar kamu dapat hidup tenang bersama mereka. Kemudian Allah menciptakan kasih-sayang di antara kamu (antara suami-isteri)"

[Surah Ar-Ruum: 21]

Jangankan lelaki biasa, Nabi pun terasa sunyi tanpa wanita. Tanpa mereka, hati, fikiran dan perasaan lelaki akan resah. Masih mencari walaupun sudah ada segala-galanya. Apa lagi yang tidak ada di syurga, sehingga Adam a.s rindukan Hawa.
Kepada wanitalah lelaki memanggil ibu, isteri atau puteri. Dijadikan mereka dari tulang rusuk yang bengkok untuk diluruskan oleh lelaki. Tetapi kalau lelaki sendiri yang tak lurus, tak mungkin mampu nak meluruskan mereka. Tak logik kayu yang bengkok menghasilkan bayang-bayang yang lurus.

Luruskanlah wanita dengan cara yang ditunjuk Allah, kerana mereka dicipta sebegitu rupa oleh Allah. Didiklah mereka dengan panduan dari-Nya. Jangan cuba jinakkan mereka dengan harta, nanti mereka semakin liar. Jangan hiburkan mereka dengan kecantikan, nanti mereka semakin menderita. Yang sementara itu tidak akan menyelesaikan masalah. Kenalkan mereka kepada cinta Allah yang Maha Agung, disitulah segala jawapannya.

Akal setipis rambutnya, tebalkan dengan ilmu. Hati serapuh kaca, kuatkan dengan iman. Perasaan selembut sutera, hiasilah dengan akhlak. Suburkanlah kerana dari situlah nanti mereka akan nampak nilaian dan keadilan Tuhan. Akan terhibur dan bahagialah hati mereka, walaupun tidak jadi ratu cantik dunia, presiden ataupun perdana menteri negara atau 'women gladiator'. Bisikkan ke telinga mereka bahawa kelembutan bukan suatu kelemahan. Itu bukan diskriminasi Tuhan. Sebaliknya disitulah kasih sayang T uhan, kerana rahim wanita yang lembut itulah yang mengandungkan lelaki-lelaki waja : negarawan, karyawan, jutawan dan "wan-wan" yang lain. Tidak akan lahir 'superman' tanpa 'superwoman'.
Wanita yang lupa hakikat kejadiannya, pasti tidak terhibur dan tidak menghiburkan. Tanpa ilmu, iman dan akhlak, mereka bukan sahaja tidak boleh diluruskan, bahkan mereka pula membengkokkan.
Lebih ramai lelaki yang dirosakkan oleh perempuan daripada perempuan yang dirosakkan oleh lelaki. Sebodoh-bodoh perempuan pun boleh menundukkan sepandai-pandai lelaki. Itulah akibatnya apabila wanita tidak kenal Tuhan. Mereka tidak akan kenal diri mereka sendiri, apalagi mengenal lelaki. Kini bukan saja ramai boss telah kehilangan 'secretary', bahkan anak pun akan kehilangan ibu, suami kehilangan isteri dan bapa akan kehilangan puteri.

Bila wanita derhaka dunia lelaki akan huru-hara . Bila tulang rusuk patah, maka rosaklah jantung, hati dan limpa. Para lelaki pula jangan hanya mengharap ketaatan tetapi binalah kepimpinan. Pastikan sebelum memimpin wanita menuju Allah pimpinlah diri sendiri dahulu kepada-Nya.


Jinakkan diri dengan Allah, nescaya akan jinaklah segala-galanya dibawah pimpinan kita. Jangan mengharap isteri seperti Fatimah, kalau peribadi belum lagi seperti Ali.


SUMBANGSIH

Istimewa buat sahabah sahabiyah seperjuangan yang sama-sama ingin menegakkan syariat Islam
Para mujahid mujahidah yang berjuang atas jalan Allah

Para pendakwah yang sentiasa bermujahadah menyampaikan risalah-Nya

Pemuda-pemudi Muslim dan Muslimah

Yang ingin membina Bait-ul-Musleem, Rumahtangga Islam

Keluarga Islam, Masyarakat Islam

Seterusnya melahirkan generasi yang menjadikan Islam sebagai pegangan hidup

Agar terbinanya pembangunan berteraskan sistem hidup yang sempurna ini

Menuju satu alam yang selama-lamanya

Kerana di situ pasti

Destinasi cinta yang abadi, cinta yang Maha Pencipta

********************************************************************
bersambung dalam siri 2...


Malam dan siang
Pagi dan petang
Langit dan Bumi
Matahari dan bulan
Semuanya berpasangan
Hingga Adam berasa keseorangan
Bertanya kepada Pencipta-Nya
Siapakah pasanganku?
Maka dijadikan Hawa dari tulang rusuk kiri yang bengkok
Agar dapat mereka berkasih sayang
Sungguh sempurna dunia ini
Tiada yang berseorangan
Semuanya diciptakan secara berpasangan
Malangnya tak ramai yang menghargai
Lantas mendatangkan kemusnahan di muka Bumi
Hai manusia
Belajarlah mengetahui sistem alam
Kerana kau akan temui
Asas kedamaian dan kebahagiaan yang dicari
Ketahuilah
Sistem kehidupan yang sempurna itu ialah ISLAM

Thursday, April 14, 2005

Jangan Bersedih, Engkau Akan Mendapatkan Pasangan

Dari seorang yang perihatin...

Jangan Bersedih, Engkau Akan Mendapatkan Pasangan

Sahabatku, diriwayatkan bahawa seorang wanita bernama Ummu Mahjul adalah seorang
pelacur. Dia biasa melayani lelaki dengan syarat lelaki itu memberikan wang sebagai
imbalan kepadanya. Kemudian, ada seorang dari kaum muslimin yang ingin mengahwini
wanita itu dan ia pun menyampaikan perkara itu kepada Rasulullah SAW. Maka turunlah
ayat ini : "…dan perempuan yang berzina tidak dikahwini melainkan oleh lelaki yang
berzina atau lelaki musyrik. "
QS An-Nuur : 3
HR. Ahmad dan An Nasa’i

Sahabatku, alangkah benarnya penafsiran yang diungkapkan tentang ayat ini bahawa
seorang fasik yang buruk yang biasa berbuat zina, tidak tertarik untuk menikah dengan
wanita baik-baik. Akan tetapi, ia hanya ingin menikahi wanita fasik yang berbuat buruk
seperti dirinya atau wanita musyrik. Wanita fasik yang berbuat buruk tidak tertarik untuk
dinikahi oleh lelaki baik-baik dan mereka pun lari darinya. Orang yang tertarik untuk
menikahinya adalah lelaki yang satu perangai dengannya, iaitu sesama fasik dan musyrik.
Kaedah ini berlaku bagi kebanyakan orang, meskipun tidak menutup kemungkinan
sebaliknya, seperti yang dikatakan orang, ‘Hanya orang yang bertakwa yang melakukan
kebaikan, tapi ada orang yang tidak bertakwa yang melakukan kebaikan.’ Demikian juga
dalam kejadian ini.

Oleh kerana itu, wahai sahabatku, untuk apa engkau membangkitkan auratmu di depan
umum? Untuk mendapat pacarkah? Untuk mendapat suamikah? Bukankah membangkitkan
aurat di depan umum itu perbuatan zina? Apakah engkau ingin mendapatkan suami / isteri
yang buruk perilakunya sama dengan kelakuanmu? Bukankah engkau menuntut kebahagiaan
sempurna? Lihatlah pasangan hidup yang perilakunya sama-sama buruk, rumahtangga
mereka tidak dapat bertahan lama!

Wahai sahabatku, yakinlah dengan janji Allah bahawa engkau akan di beri pasangan
terbaik jika engkau beriman dan bertakwa padaNya. Dan adalah Allah tidak pernah
sedikit pun menyalahi janjiNya sendiri.